Akaun RM500 juta milik STA telah dicair semula

SPRM amat teliti melakukan siasatan, turut ambil pendekatan lebih berperikemanusiaan: Badrul

BADRUL

BADRUL

KUCHING: Akaun beberapa ahli Persatuan Kayu Sarawak (STA) berjumlah kira-kira RM500 juta yang dibekukan Mei lalu telah dicairkan selepas 90 hari, kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, Datuk Badrul Shah Norman.

Menurutnya, ia menunjukkan SPRM sangat teliti melakukan siasatan tetapi pada masa sama mengambil pendekatan lebih berperikemanusiaan kerana ia membabitkan kira-kira 100,000 pekerja di seluruh Sarawak.

“Dalam memerangi pembalakan haram, saya percaya statistik tepat seharusnya dikeluarkan oleh Jabatan Hutan kerana agensi berkuasa yang mengambil tindakan ke atas ‘Big 6’, jika ada sebarang tindakan,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen mengenai perkembangan terkini status akaun ahli STA yang sebelum ini dibeku SPRM.

Badrul berkata untuk membanteras aktiviti pembalakan haram, SPRM bekerjasama dengan pelbagai agensi penguat kuasa seperti polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

Katanya di bawah Ops Gergaji, dilancar Mei lalu membanteras pembalakan haram, sebanyak 1,057 balak bernilai hampir RM245,075 telah dirampas.

Tambahnya, tindakan Kerajaan Negeri sangat serius menangani pembalakan haram memberi rangsangan diperlukan memerangi rasuah dalam industri pembalakan di Sarawak.

Penubuhan pasukan khas katanya, diketuai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bertanggungjawab, bertujuan menangani isu kompleks sangat membantu menangkap penjenayah dan menguragkan aktiviti pembalakan haram.

Sehingga 20 November 2015, katanya SPRM Sarawak telah membuka 80 kertas siasatan.

“Pada masa sama, kami juga menahan 65 individu, 35 telah didakwa di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda RM413,527 atas kesalahan rasuah,” jelasnya.

Kata Badrul lagi, jumlah tangkapan dilakukan SPRM Sarawak menunjukkan peningkatan sejak 2013, seramai 45 ditahan dan 15 adalah kakitangan awam manakala tahun lepas (2014) 59 ditahan, 10 daripadanya adalah kakitangan awam.

Beliau menekankan walaupun SPRM berdepan masalah kekurangan tenaga kerja di Sarawak dan kawasan geografi luas , suruhanjaya itu tidak akan berhenti membanteras kegiatan rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

“Fokus utama kami sekarang ialah memerangi aktiviti pembalakan haram kerana kami diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh Kerajaan negeri untuk menangani isu ini dengan serius,” katanya.

Dalam isu berkaitan, Badrul memberitahu STA memberi penjelasan mengenai integriti dan mesej anti rasuah pada April lalu diikuti Ikrar Integriti Korporat (CIP) oleh syarikat pembalakan ‘Big 6’ tahun lepas untuk membanteras amalan rasuah serta pembalakan haram.

“Selepas menandatangani CIP, mereka telah melaksanakan 10 inisiatif dalam organisasi masing-masing. Tahun ini kami melakukan pemantauan sama ada mereka melaksanakannya atau tidak.

“Sebenarnya mereka tidak perlu melaksanakan kesemua inisiatif itu serentak, tetapi sekurang-kurangnya melaksana sebahagian daripadanya.

“Kebanyakan daripada mereka sudah melaksanakannya dan ia adalah proses yang berterusan,” kata Badrul.

Beliau memberitahu sepanjang tahun, SPRM Sarawak telah melibatkan diri secara aktif dengan sektor awam dan parti politik membendung rasuah.

“Kami mengadakan program antirasuah untuk ahli politik pada April dan Oktober. Kita juga terlibat dengan pemimpin masyarakat, ketua masyarakat dan kumpulan sasaran,” katanya sambil menambah, SRPM Sarawak menganjurkan 326 ceramah di pelbagai jabatan serta agensi.

Sementara itu, Badrul menegaskan SPRM juga telah mengambil pendekatan menyeluruh kerana mahu mendidik semua lapisan masyarakat dalam usaha memerangi rasuah.

“Kami telah menubuhkan sekretariat SPRM di pelbagai institusi pengajian tinggi seperti UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak), Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang dan Institut Pendidikan Guru Kampus Miri.

“Idea menubuhkan sekretariat di institusi-institusi ini ialah membolehkan pelajar menubuhkan mekanisme tertentu memerangi rasuah dalam kalangan mereka, SPRM menyediakan semua garis panduan dan pemantauan perlu,” katanya.

Badrul juga menegaskan bahawa suruhanjaya itu juga berharap orang ramai akan terus memberi maklumat dan kerjasama untuk menangani amalan rasuah di Sarawak.

“Saya ingin menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dalam rasuah dan mengatakan tidak kepada rasuah dan tidak memberi dan tidak menerima,” nasihat beliau sambil menambah SPRM boleh dihubungi di talian 082-467701.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/12/11/akaun-rm500-juta-milik-sta-telah-dicair-semula/