Akar umbi PBB Wilayah Utara tidak berbelah-bahagi sokong Abang Johari

MIRI: Pemimpin akar umbi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Wilayah Utara, semalam menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg untuk membawa Sarawak ke mercu kemajuan lebih gemilang.

Pengerusi PBB Pujut Abu Bakar Amit berkata ahli akar umbi parti mengucapkan tahniah kepada Abang Johari atas pelantikan sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam.

“Kami memberi sokongan padu dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Abang Johari sebagai Ketua Menteri dan memastikan PBB lebih kuat di bawah kepimpinan baharu,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata semua ahli PBB Piasau dan penyokongnya mengucapkan tahniah kepada Abang Johari yang juga pemimpin paling kanan dan kini menjadi Ketua Menteri baharu.

“Bagi kami di peringkat akar umbi, sesiapa pun dilantik menjadi presiden dan Ketua Menteri menerusi persetujuan sebulat suara kami akan memberi sokongan demi kepentingan parti,” tambahnya.

Abu Bakar berkata, dengan pengalaman luas dalam bidang politik serta amat dikenali dan disukai rakyat, kerana dedikasi terhadap kerjanya dan lantang dalam isu-isu berkaitan demi kepentingan rakyat menjadikan Abang Johari orang paling tepat menyandang jawatan nombor satu negeri ini.

“Kami berharap Abang Johari meneruskan jejak langkah Allahyarham Adenan yang begitu dekat di hati rakyat. Al-Fatihah untuk arwah,” katanya.

Pengerusi PBB Telang Usan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata Abang Johari merupakan seorang timbalan presiden PBB yang amat berpengalaman dengan pengurusan dan pentadbiran negeri ini lebih 30 tahun lalu.

“Kepimpinan beliau mampu menyerlah seperti Allahyarham Adenan yang amat mesra rakyat dan pragmatik serta seseorang yang tegas dan bijak dalam membuat keputusan,” jelasnya.

Menurut Dennis, Abang Johari merupakan seorang yang amat dikagumi di negeri ini dan membuktikan kemampuan memegang pelbagai portfolio dalam kementerian kabinet negeri sepanjang era Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Adenan.

“Sehubungan itu, saya berkeyakinan tinggi Abang Johari akan mengikuti jejak langkah Adenan menjadikan Sarawak sebuah negeri yang progresif dan maju di Malaysia,” katanya.

Pengerusi PBB Cawangan Kecil Piasau Jaya Masni Amit berkata Abang Johari adalah pemimpin PBB paling layak menggantikan Adenan kerana beliau amat dikagumi dan dikenali setiap lapisan rakyat.

“Apatah lagi sebagai Menteri Pelancongan beliau kerap turun padang dan melalui kementeriannya, beliau banyak membawa perubahan dan pembangunan di negeri ini terutama sektor pelancongan,” katanya.

Menurutnya, Abang Johari melalui pengalaman luas beberapa kementerian terutama pelancongan beliau dapat melihat ke hadapan, sumber-sumber pendapatan negeri dan tahu bagaimana menarik pelancong datang ke negeri ini.

“Bagi penduduk utara negeri ini, Abang Johari amat dikenali kerana dijemput hadir merasmikan majlis-majlis dan aktiviti di Miri dan Sibuti malah merasmikan surau di Desa Senadin menunjukkan beliau amat rapat dengan rakyat di sini,” jelasnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/17/akar-umbi-pbb-wilayah-utara-tidak-berbelah-bahagi-sokong-abang-johari/