Air kumbahan dirawat, diurus dengan betul

Sarawak telah wujudkan sistem pembetungan komprehensif, sedang bina sistem pembetungan bersepadu bagi bandar utama

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Kerajaan negeri telah mewujudkan sistem pembetungan yang komprehensif di negeri ini bagi memastikan air kumbahan dirawat dan diuruskan dengan betul.

Bagi memastikan kapasiti rawatan pembetungan mencukupi dalam jangka panjang, kerajaan juga menurut Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, sedang membina sistem pembetungan bersepadu bagi bandar-bandar utama di negeri ini seperti Kuching, Miri dan Sibu.

Sistem yang sedang dibina ini katanya, dilengkapi dengan kemudahan rawatan kumbahan bagi mendapatkan air ultra tulen untuk digunakan semula dalam industri.

“Pelaburan dalam sistem ‘back-end’ hanya sebahagian daripada usaha kerajaan dan pada masa yang sama kita juga perlu memperbaiki kemudahan ‘front-end’ pengguna.

“Sebab itu, kerajaan menggunakan pendekatan ‘end-to-end’ dalam melihat keperluan sanitasi rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Tandas Sedunia Ke-15 di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Tambah Dr Sim, kemudahan ‘front-end’ merujuk kepada rekaan tandas, spesifikasi kod tandas, penyelenggaraan, langkah-langkah pemuliharaan air, teknologi tandas dan sebagainya.

Berdasarkan kepada kaji selidik tahunan, fasiliti awam yang direka dan dikekalkan dengan baik dapat membantu tingkah laku pengguna yang lebih baik.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak kerajaan negeri menggalakkan pemaju swasta terus menambah baik rekaan tandas bagi membantu mempromosikan penggunaan dan penyelenggaraan yang betul.

“Bagi pihak kerajaan, kami juga telah menaik taraf tandas-tandas di bangunan dan tempat awam selain program berterusan untuk menambah baik semua tandas awam di semua pusat penjaja dan pasar.

“Kerajaan juga menggabungkan ciri-ciri reka bentuk yang unik seperti landskap, pencahayaan semula jadi dan pengudaraan dalam konsep reka bentuk terbuka.

“Selain itu, tandas-tandas di sekolah, taman, pusat komuniti dan bangunan awam yang lain juga akan berwajah baharu, kerana konsep reka bentuk baharu digunakan sebagai usaha menaik taraf oleh agensi kerajaan yang berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Selatan Datuk James Chan berkata mendiang Datuk Robert Lau yang mana ketika itu merupakan Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan telah memastikan tandas kekal sebagai subjek pen-ting dalam pengurusan sistem sanitasi yang baik kerajaan.

Bermula dari itu, tandas ter-baik tahunan telah diadakan sehingga hari ini dan Persatuan Tandas Kebangsaan juga di-tubuhkan pada ketika itu.

“Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah memperbaiki tandas-tandas di taman dan pasar secara ber-terusan untuk kebaikan dan memudahkan orang awam.

“Satu daripada yang akan diperbaiki ialah tandas kedai kopi di mana pihak majlis telah mengadakan ceramah kesihatan kepada pengusaha kedai makan pada 6 Oktober lepas bagi menerangkan mengenai kepentingan kebersihan dan etika tandas,” katanya.

Dalam pada itu, Sidang Kemuncak dan Ekspo Tandas Sedunia Ke-15 berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga 29 Oktober ini dan menekankan kepentingan reka bentuk serta penyelenggaraan tandas yang lebih baik untuk kebersihahan fasiliti awam.

Dengan matlamat ‘Happy Toilet, Healthy Toilet’, mo-derator, penceramah dan ahli panel akan mencabar cara para delegasi melihat tandas dan sistem sanitasi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai serta yang lain.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/27/air-kumbahan-dirawat-diurus-dengan-betul/