Agong Seru Rakyat Tingkatkan Kewibawaan Diri

[size=150]Agong seru rakyat tingkatkan kewibawaan diri[/size]
13-03-2006 02:46:40 PM

KUALA LUMPUR: Yang DiPertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail mahu rakyat negara ini meningkatkan keutuhan dan kewibawaan diri bagi memantapkan lagi pembangunan yang dicapai selama ini.

Titah baginda, sifat mulia seperti bersih dan amanah, adil dan beretika, ramah mesra dan bersatu padu merupakan unsur penting untuk meningkatkan jati diri, ketahanan dan perwatakan rakyat Malaysia agar membantu mencapai matlamat mewujudkan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Baginda juga bertitah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sesi Parlimen kali ini, mampu memacu ekonomi negara bagi mencapai Wawasan 2020.

Tuanku Syed Sirajuddin ketika merasmikan mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-11 hari ini (Foto: The Star)

"Beta pasti Rancangan ini akan menyediakan dasar dan strategi untuk mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi supaya pertumbuhan dapat dikekalkan dan kualiti hidup terus dipertingkatkan.

“Ia juga akan memberi keutamaan kepada langkah-langkah untuk meningkatkan daya saing negara,” titah baginda ketika merasmikan mesyuarat pertama, penggal ketiga Parlimen Ke-11 di sini hari ini.

Sesi Parlimen kali ini sehingga 4 Mei akan menyaksikan sekurang-kurangnya dua dokumen penting akan dibentangkan iaitu RMK9 dan rang undang-undang berkaitan industri air negara.

RMK9, yang akan merancang arah pembangunan negara sehingga 2010 dijangka dibentangkan Perdana Menteri pada 31 Mac ini manakala Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Kebangsaan ialah rombakan menyeluruh struktur bekalan air negara.

Rang undang-undang lain yang dijangka dibentangkan adalah pindaan cadangan kepada Kanun Acara Jenayah dan Kanun Keseksaan.

Yang diPertuan Agong bertitah, untuk memperoleh pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mapan, peningkatan daya saing, produktiviti dan kecekapan amat penting.

“Justeru, sektor swasta perlu kembali sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan pelaburan teknologi terkini, sumber manusia dan penyelidikan selain meneroka bidang-bidang pertumbuhan baru bernilai tambah yang tinggi,” titah baginda.

Mengupas pencapaian ekonomi negara, baginda menyuarakan rasa syukur kerana pelbagai sektor ekonomi negara terus berkembang sekalipun keadaan ekonomi dunia sederhana dan harga minyak antarabangsa meningkat.

Baginda bertitah kadar inflasi walaupun naik sedikit adalah terkawal dan guna tenaga penuh masih dicapai manakala hasil lebihan dagangan yang terus meningkat sejak 1997 menyumbang kepada peningkatan rizab antarabangsa negara.

“Dengan kadar kemiskinan 5.7 peratus pada tahun 2004, jelas matlamat untuk mengurangkan sepenuhnya kadar kemiskinan tegar dijangka akan dapat dicapai dalam tempoh RMK9,” titah baginda.

Dalam titah ucapan itu baginda juga menyentuh pelbagai sektor termasuk pertanian, pelancongan, pendidikan, pengangkutan, kebajikan masyarakat serta anggota perkhidmatan awam.

Mengenai sektor pertanian, baginda bertitah tumpuan harus diberikan terhadap pemodenan dan penggunaan teknologi tinggi serta pengeluaran agromakanan yang bernilai tambah.

Selain pertanian yang gigih, peranan dan sumbangan sektor komoditi kepada ekonomi negara akan terus diperkasakan.

Baginda menyuarakan rasa gembira dengan kemajuan dalam sektor palancongan dan menyifatkan perolehan pendapatan pelancongan sekitar RM31 bilion dan bilangan pelancong melebihi 16 juta orang setahun sebagai amat memberangsangkan.

Namun, usaha-usaha peningkatan perkhidmatan dan produk pelancongan harus ditingkatkan termasuk bilangan pelancong tempatan.

Baginda juga bertitah kerajaan akan terus memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, memartabatkan kerjaya perguruan dan menambah baik sistem pendidikan agar bertaraf dunia.

“Sistem pembelajaran yang berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi akan terus diutamakan manakala latihan perguruan akan dipertingkat untuk melahirkan guru yang berkualiti dan profesional,” titah baginda.

Mengenai pengajian tinggi pula, baginda mahu kurikulum pengajian di universiti hendaklah relevan dengan keperluan ekonomi dan penekanan untuk mencapai perspektif global di kalangan tenaga akademik dan pelajar perlu dilaksanakan menerusi pertukaran kepakaran pensyarah dan pelajar dengan universiti terkemuka dunia.

Institut penyelidikan kerajaan dalam persekitaran universiti akan diwujudkan bagi menjalin kerjasama dan perkongsian dua hala yang mantap, titah baginda.

Dalam bidang pengangkutan, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah bangunan terminal khas penerbangan tambang murah yang akan beroperasi akhir bulan ini mampu menarik dan meningkatkan kedatangan pelancong asing ke negara ini sejajar usaha menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai pusat penerbangan serantau.

Baginda juga menyeru masyarakat agar memainkan peranan bagi membela nasib golongan yang daif dan kurang bernasib baik seperti kanak-kanak, ibu tunggal, individu kurang upaya, warga emas dan golongan yang terdedah kepada penganiayaan.

Gejala sosial termasuk ajaran sesat yang masih menimbulkan masalah harus ditangani secara berhemah bagi membendungnya, titah baginda.

Mengenai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), baginda bertitah penambahbaikan perlu dibuat dari semasa ke semasa kepada modul program itu supaya memberi lebih penekanan kepada perpaduan kaum, penghayatan budaya, nilainilai sejagat dan pembangunan kerohanian yang lebih utuh.

Baginda juga menyeru anggota perkhidmatan awam terutama anggota pasukan keselamatan supaya sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan, berpegang teguh kepada etika dan sentiasa memberi taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada kerajaan dan negara.

Sehubungan itu, baginda mahu supaya segala kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam sistem penyampaian kerajaan segera diperbaiki bagi memastikan ia sentiasa memenuhi kehendak rakyat.

Yang diPertuan Agong bertitah dengan peningkatan bilangan penduduk di seluruh negara, semestinya permintaan penduduk bandar terhadap sistem penyampaian perkhidmatan akan menjadi lebih mencabar.

Oleh itu pihak kerajaan tempatan perlu lebih sensitif terhadap pentingnya pembangunan yang adil dan berkualiti serta masalah kemiskinan di bandar perlu diberi perhatian serius menerusi program bersepadu yang melibatkan kerajaan dan badanbadan bukan kerajaan.

Program-program teras bagi membanteras kemiskinan, penyediaan perumahan, khidmat kesihatan, bantuan pendidikan, bantuan sosial dan pengangkutan perlu diperhebat.

Bagi penduduk luar bandar, baginda bertitah kerajaan akan meneruskan pelbagai projek prasarana terutama di Sabah dan Sarawak serta di kawasan pedalaman dan penempatan Orang Asli.

Program pembangunan insan seperti pendidikan sepanjang hayat, kepimpinan masyarakat luar bandar, pembasmian kemiskinan dan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi akan diperhebatkan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, titah baginda. BERNAMA