Abang Johari, Masing sampaikan rasa simpati terhadap Bill Kayong

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg turut menyampaikan simpati kepada Setiausaha PKR Miri Bill Kayong yang ditembak mati dalam satu kejadian di Miri, pagi semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berkata, ia mungkin bukan bermotifkan politik dan serahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk melakukan penyiasatan.

“Kita merasa sedih dengan apa yang berlaku di Miri dan kita tidak tahu niat atau motif atas perkara yang berlaku.

“Kita berasa sedih juga kerana ia bukan budaya kita jika ia berbaur politik melainkan ada sebab-sebab lain. Saya rasa ia bukan bermotifkan politik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kawasan Satok di pejabatnya di sini, semalam.

Sementara itu dalam satu kejadian awal pagi semalam, Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri Bill Kayong ditembak mati di lampu isyarat Jalan Kuala Baram berhampiran pasar raya Emart.

Mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Hilux dipercayai ditembak dari jarak dekat menembusi cermin kanan di sebelah pemandu kereta yang dinaikinya.

Ketika dijumpai mangsa dilaporkan sudah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dan motif kejadian masih disiasat.

Pada Pilihan Raya Negeri lalu, Bill bertanding atas tiket PKR bagi DUN Bekenu namun tewas kepada calon BN.

Turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing dalam satu kenyataan kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

“Takziah kepada keluarga beliau (Bill Kayong) atas kematian beliau dan berharap pelaku jenayah dapat dibawa ke muka pengadilan tidak lama lagi.

“Tidak kira apa pun perbezaan pendapat kita, tidak ada sesiapa yang berhak untuk bertindak sewenang-wenangnya di luar batas undang-undang,” tegasnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/22/abang-johari-masing-sampaikan-rasa-simpati-terhadap-bill-kayong/