93 ingkar PKP ditangkap di Sarawak

KUCHING: Jumlah tangkapan individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak masih tinggi walaupun perintah itu sudah lebih sebulan dikuatkuasakan.

Dalam tempoh 24 jam semalam hingga pagi ini, seramai 93 orang ditangkap dalam operasi sekatan jalan raya dan pemeriksaan mengejut di seluruh negeri.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan yang ditangkap di Sarawak sejak 18 Mac lalu adalah seramai 1,328 orang.

Selepas memasuki hari ke-35 PKP, Sibu dan Kuching terus merekodkan jumlah tangkapan harian paling ramai.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menahan seramai 33 orang, manakala IPD Kuching pula 25 orang.

“Lokasi lain yang turut mencatat tangkapan ialah Simunjan (6); Miri (5); Padawan, Saratok dan Belaga masing-masing empat orang; Kota Samarahan, Limbang dan Marudi masing-masing tiga orang manakala Bau, Kapit dan Betong masing-masing seorang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumlah individu yang didakwa di mahkamah bagi tempoh 24 jam semalam hingga hari ini pula ialah seramai 75 orang.

Daripada jumlah itu, 17 dituduh di Sibu, Kuching (16); Padawan (8); Lubok Antu dan Sri Aman masing-masing enam orang; Miri (5); Song (4); Betong, Saratok dan Tatau masing-masing tiga orang; Bintulu (2); dan Julau dan Limbang masing-masing seorang.

Ini menjadikan jumlah yang didakwa di mahkamah di seluruh Sarawak sejak PKP dilaksanakan ialah 668 orang.

PKP dikuatkuasakan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19, justeru orang-ramai perlu memberi kerjasama dengan mematuhi perintah itu.

Lagi berita mengenai COVID-19

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/04/679716/93-ingkar-pkp-ditangkap-di-sarawak