80 pelajar terpilih terima Dermasiswa KTS 2016

SIBU: Seramai 80 pelajar daripada 20 sekolah menengah di kawasan tengah Sarawak dipilih menerima Dermasiswa KTS 2016.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat KTS Temenggung Datuk Vincent Lau Lee Ming berkata, pada tahun ini, seramai 229 pelajar daripada 63 sekolah menengah di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri menerima dermasiswa ini dengan jumlah keseluruhan RM68,700.

“Dermasiswa telah diberikan setiap tahun kepada pelajar sekolah menengah yang memerlukan di seluruh Sarawak sejak tahun 2009.

“Seramai 1,395 pelajar sekolah menengah menerima dermasiswa dengan keseluruhan sebanyak RM330,900 bermula 2009 hingga 2015,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Dermasiswa KTS 2016 di pejabat KTS Sibu di sini, petang semalam.

Hadir sama ialah Penolong Pengurus Kanan See Hua Marketing Cawangan Sibu Kueh Nguan Seng serta yang lain.

Menurut Lau, selain dermasiswa sebanyak RM300 itu, setiap pelajar juga akan menerima langganan salah satu akhbar keluaran Kumpulan See Hua iaitu See Hua Daily News, The Borneo Post atau Utusan Borneo selama 12 bulan.

“Kita tahu jumlah diberikan kepada setiap pelajar tidak banyak, namun kita berharap ia akan memberi galakan untuk berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai kecemerlangan akademik,” jelasnya.

Menyentuh lanjut mengenai dermasiswa itu, beliau berkata ia bertujuan meringankan beban ibu bapa pelajar terbabit dan bagi menggalakkan minat membaca surat khabar di kalangan pelajar.

“Penerima merupakan pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan serta daripada keluarga berpendapatan rendah,” ujarnya sambil menambah, Yayasan KTS diurus oleh KTS Mutual Sdn Bhd.

Yayasan KTS dilancarkan pada 2001 dengan dana permulaan sebanyak RM10 juta.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/24/80-pelajar-terpilih-terima-dermasiswa-kts-2016/