700 pegawai, anggota polis bertugas pada Ops Selamat

OPERASI SEMPENA KRISMAS: 700 pegawai, anggota polis bertugas jaga keselamatan dan ketenteraman awam pada Ops Selamat sempena Krismas.

OPERASI SEMPENA KRISMAS: 700 pegawai, anggota polis bertugas jaga keselamatan dan ketenteraman awam pada Ops Selamat sempena Krismas.

BINTULU: Sepanjang tempoh Ops Selamat sempena perayaan Krismas 2015 sekitar 700 pegawai dan anggota polis bertugas menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata semua pegawai serta anggota polis terlibat secara langsung menjaga keselamatan di lokasi-lokasi terpilih.

Jelasnya, polis membantu penduduk awam membanteras kegiatan jenayah yang sering berlaku menjelang musim perayaan dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.

“Orang awam sebagai mata dan telinga kepada segala perbuatan mencurigakan serta berunsur jenayah di persekitaran tempat mereka tinggal,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sabtu berharap orang awam sentiasa peka terhadap sebarang kegiatan mencurigakan dengan melaporkan segera sekiranya ternampak aktiviti jenayah.

Mengenai kawasan kerap kemalangan, beliau berkata tiga laluan memerlukan pengguna jalan raya berhati-hati semasa melaluinya iaitu Batu 5 hingga 13 Jalan Bintulu-Miri, Batu 17 hingga 23 Jalan Bintulu-Miri dan Jalan Bintulu-Tanjung Kidurong.

“Sebaik-baiknya, setiap pengguna jalan raya harus mengamalkan pemanduan berhemah seperti kita selalu nasihatkan kepada golongan sasar kerana corak pemanduan sedemikian amat penting bagi mengurangkan serta meminimumkan kemalangan,” katanya.

Sabtu berkata konsep rumah selamat dan pencegahan kemalangan jalan raya bukan sahaja memfokuskan kepada pengguna jalan raya namun masyarakat yang hendak pulang bercuti ke kampung harus memaklumkan kepada balai polis berdekatan.

Beliau menambah, mana-mana individu yang ingin rumah mereka dipantau polis rondaan sepanjang bercuti hendaklah memaklumkan melalui SMS kepada Rakan Cop – POLISSWK DAFTAR NAMA dan hantar ke 32728 selepas mendapat nombor keahlian, taipkan POLISSWK BK (Balik Kampung), alamat rumah dan tempoh ditinggalkan dan hantar ke 32728.

Hadir sama Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/12/23/700-pegawai-anggota-polis-bertugas-pada-ops-selamat/