52 penerjun sertai Sibu International Base Jump

SIBU: Seramai 52 penerjun dari 15 negara bakal beraksi pada Sibu International Base Jump 2016 yang berlangsung dari 23 hingga 25 September ini di Dataran Bandar Sibu Fasa I.

Pengerusi Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG) Hii Chang Kee berkata, peserta kali ini turut terdiri daripada lima penerjun wanita.

“Selain peserta negara ini, ia turut disertai penerjun dari Australia, Belgium, Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Itali, Ireland, Belanda, New Zealand, Rusia, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media dan taklimat keselamatan Sibu International Base Jump 2016 di sebuah hotel terkemuka di sini petang semalam.

Hii yang juga residen bahagian Sibu memberitahu, penerjun paling muda ber-usia 22 tahun dari Belgium iaitu Corentin Parmentier sementara paling tua berusia 60 tahun dari Malaysia iaitu Kapten A. Aziz Ahmad.

“Majlis perasmian Sibu International Base Jump 2016 dijadual berlangsung pada 24 September pada jam 8 pagi dengan upacara miring di pentas utama Dataran Bandar Sibu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King dijangka merasmikan majlis,” ujarnya.

Hii berkata terjunan peserta pada hari pertama (23 September) dan hari kedua (24 September) bermula pada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung jam 2 petang hingga 5 petang manakala terjunan malam dijadual bermula pada jam 7 petang hingga 9 malam.

“Hari terakhir (25 September) peserta melakukan terjunan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang. Mereka kemudian akan dibawa melawat ke Rumah Mathew Chuat, Nanga Tada, Kanowit,” jelasnya.

Seperti pada edisi lepas, terjunan malam berjaya menarik perhatian orang ramai yang memenuhi Dataran Bandar Sibu Fasa 1, khususnya di hadapan pentas utama.

“Kita meminta kerjasama orang ramai agar memberi ruang kepada penerjun untuk melakukan pendaratan di kawasan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Sibu Base Jump yang bermula pada tahun 2009 memperlihatkan peserta melakukan terjunan dari atas bangunan Wisma Sanyan setinggi 126 meter, sebelum mendarat di Dataran Bandar Sibu Fasa I.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/22/52-penerjun-sertai-sibu-international-base-jump/