51,000 hektar tanah NCR dimajukan ladang sawit

MIRI: Kerajaan negeri meluluskan kawasan seluas 51,000 hektar tanah berstatus Hakmilik Adat Bumiputera (NCR) di Baram di sini, untuk dibangunkan sebagai ladang sawit bagi menjana pendapatan bagi penduduk setempat. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Marudi, Sylvester Entri Muran, berkata kawasan terbabit termasuk di Selepin, Bakong, dengan keluasan mencecah 23,000 hektar, manakala selebihnya di Sungai Bok, Tinjar. “Seramai 862 penduduk daripada 38 rumah panjang di kawasan itu akan menyertai projek berkenaan. Ia dijangka mampu meningkatkan sosio-ekonomi penduduk setempat di Bakong,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. Beliau yang juga Menteri Muda Bekalan Air Negeri, berkata projek itu akan memberikan pulangan lumayan kepada penduduk dan pemilik tanah NCR di kawasan terbabit berikutan kenaikan mendadak harga minyak sawit di pasaran dunia. "Penduduk di Bakong dan Tinjar sudah lama memohon supaya tanah NCR mereka dimajukan, namun usaha itu tertangguh beberapa kali. “Kesediaan penduduk di kawasan terbabit untuk menyertai projek ini jelas membuktikan rakyat, terutama masyarakat luar bandar tidak menolak pembangunan yang dirancang kerajaan di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata, lebih banyak lagi tanah NCR di kawasan Baram akan dimajukan dengan tanaman komersial itu tidak lama lagi. “Kita percaya projek tanaman sawit ini mampu memberi pulangan yang lumayan kepada penduduk di utara negeri ini,” katanya. Muran berkata, ketika ini tanaman komersial itu sudah terbukti mampu meningkatkan pendapatan penduduk Sarawak. “Ramai penduduk di kawasan luar bandar di negeri ini menikmati pendapatan lumayan daripada pembangunan tanah NCR menerusi tamanan itu ketika ini. Justeru, tidak hairan semakin ramai rakyat kita mahu tanam sawit,” katanya. Ketika ini, lebih setengah juta hektar tanah NCR di seluruh negeri sudah ditanam dengan kelapa sawit, dengan sasaran kawasan penanaman itu meningkat kepada sejuta hektar menjelang 2010. Ia sejajar dengan perancangan kerajaan negeri untuk menjadi pengeluar utama kelapa sawit utama di Malaysia, mengatasi Pahang, Johor dan Selangor.

Source