45,000 masih berpeluang miliki tong sampah subsidi

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) melanjutkan tempoh permohonan mendapatkan tong sampah subsidi berharga RM50 kepada 45,000 buah kediaman di Miri yang belum memohon sehingga 31 Ogos ini

Datuk Bandar, Lawrence Lai berkata, sehingga kini hanya 8000 kediaman telah mengemukakan permohonan mereka mendapatkan tong dua roda 120 liter itu.

“Sebanyak 53,000 kediaman layak mendapatkan tong sampah subsidi ini. Dari 8000 permohonan, kita telah menghantar setengah daripada jumlah tersebut kepada pemilik, “ katanya kepada pemberita selepas sesi MBM Bersama Pelanggan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) semalam.

Lawrence berkata, program dilancar pada Februari dan berakhir pada 31 Mei lalu iaitu tarikh akhir pembayaran cukai taksiran (cukai pintu) untuk separuh pertama 2016.

Beliau memberitahu, cadangan melanjutkan tarikh permohonan adalah untuk membenarkan lebih ramai penduduk mendapatkan tong sampah tersebut dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran RM200.

Untuk mempromosikan tong sampah subsidi ini, MBM akan membuka kaunter promosi di tiga kompleks beli-belah di sini pada setiap hari Sabtu dan Ahad dalam tempoh tiga bulan.

Promosi bermula 11/12 Jun, 18/19 Jun dan 25/26 Jun di Boulevard Shopping Mall (Pujut), diteruskan 2/3 Julai. 9/10 Julai, 16/17 Julai, 23/24 Julai dan 30/31 Julai di Permy Mall, Permyjaya diteruskan pada 6/7 Ogos, 13/14 Ogos, 20/21 Ogos dan 27/28 Ogos di Imperial Mall.

“Semasa promosi ini, penduduk boleh mendapatkan borang permohonan. Tetapi bayaran hendaklah dijelaskan di kaunter MBM di UTC, “ jelas Lawrence.

Penghantaran akan dilakukan oleh kontraktor MBM dalam tempoh 30 hari setelah permohonan diluluskan.

Mereka juga boleh mendapat sendiri tong sampah di syarikat pengedar terpilih iaitu Well Clean (Miri) Supplies Sdn Bhd di alamat No 19 Jalan Krokop Satu, Lorong Satu dengan menghubungi talian 085-432382.

Sejumlah RM4 juta diperlukan untuk membekalkan sebanyak 53,000 tong sampah subsidi kepada seluruh kediaman di sini.

Tong sampah jenama ‘SSI Schaefer’ buatan Jerman itu dijamin tahan rosak selama lima tahun, bagaimanapun, sebuah kediaman hanya layak mendapat satu unit tong sampah sahaja.

Antara syarat utama melayakkan mereka mendapat tong sampah subsidi itu ialah menjelaskan cukai pintu dan tidak mempunyai cukai pintu tertunggak.

Penyediaan tong sampah subsidi itu juga sebagai tanda terima kasih MBM kepada pembayar cukai pintu memastikan kutipan cukai pintu MBM adalah yang terbaik di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pejabat MBM di talian 085-433501 dan Seksyen Penyelenggaraan dan Kebersihan Awam di talian 085-442411.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/11/45000-masih-berpeluang-miliki-tong-sampah-subsidi/