345 graduan terima sijil dan diploma pada Majlis Konvokesyen ILJTM

KUCHING: Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) Wilayah Timur (Zon Sarawak) melangsungkan Majlis Konvokesyen Ke-12 di Pusat Borneo Konvensyen Kuching (BCCK) di sini semalam.

Perasmian konvokesyen serta penyampaian sijil dan diploma kepada 345 graduan disempurna Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem yang juga Ahli Parlimen Serian.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Dato Sri Adenan Ab Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Dato Chin Phaik Yoong dan Pengerusi ILJTM Wilayah Timur, Mat Setia Mohd Raji.

Daripada 345 graduan dirai semalam, 66 daripadanya merupakan penerima diploma dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu manakala 279 lagi merupakan penerima sijil dalam pelbagai kursus dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan dan Miri.

Riot dalam kenyataan medianya sempena konvokesyen itu semalam berkata, sejak ditubuhkan pada 1964, sehingga kini ILJTM berjaya melahir sejumlah 183, 264 graduan kemahiran sepenuh masa.

Manakala di Sarawak sahaja, sejak tahun 2002, seramai 8,178 orang lulusan kemahiran telah dikeluarkan oleh ILJTM yang merupakan pekerja mahir industri.

Daripada sudut penerimaan majikan terhadap pelajar ILJTM pula, Riot berkata mengikut kajian dibuat bagi sesi 2/2015, mendapati 87 peratus majikan yakin prestasi ditunjuk pelajar ILJTM.

Manakala kebolehkerjaan graduan ILJTM keluaran 2015 juga menunjukkan peratusan yang baik iaitu 92.7 peratus.

Kejayaan ILJTM di Sarawak dalam melahirkan graduan berkualiti turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada badan korporat terkemuka.

Antaranya, Heerema Marine Contractors, Risewell Steel Works, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Sarawak Hidro Sdn Bhd, Significant Technologies Sdn Bhd, Qasturie Offshore Engineering, Borneo Safety Training Services, Sakura Ferroalloys Sdn Bhd, MKI Engineering Services (Sarawak) Sdn Bhd dan lain-lain.

Pada majlis itu semalam, Riot turut menyampaikan Anugerah Graduan Terbaik kepada Jackson Duma graduan kursus Teknologi Kimpalan Arka dan Gas dari ILP Kota Samarahan, Atta Mostapha (Kursus Teknologi Pemasangan Paip Minyak dan Gas, ILP Miri) dan Hendra Hidayat Rosli (Kursus Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, ADTEC Bintulu).

Anugerah Tokoh Alumni disampaikan kepada Vincent Ligging yang mengikuti kursus Teknologi Kimpalan Arka dan Gas dari ILP Kota Samarahan bagi sesi 2003/2004 dan kini menjawat jawatan sebagai Koordinator Projek di OneSubsea, A Slumberger Company.

Dua lagi anugerah iaitu Anugerah Syarikat Contoh masing-masing disampaikan kepada Heerema Marine Contractors Netherland dan Risewell Steel Works Sdn Bhd, Miri.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/20/345-graduan-terima-sijil-dan-diploma-pada-majlis-konvokesyen-iljtm/