32 majikan gagal mendaftar dengan PERKESO dikompaun

Oleh Mohd Norhadie Sahari//

SIMBOLIK: Philip (dua kanan) disaksikan Tan (kanan) menyampaikan fail
kepada pegawai penguat kuasa PERKESO Miri sebagai simbolik perasmian Ops Kesan
di Miri, semalam.

SIMBOLIK: Philip (dua kanan) disaksikan Tan (kanan) menyampaikan fail kepada pegawai penguat kuasa PERKESO Miri sebagai simbolik perasmian Ops Kesan di Miri, semalam.

MIRI: Sebanyak 32 majikan gagal mendaftar perusahaan dan pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Miri dikenakan kompaun berjumlah RM24,000 keseluruhannya.

Pengarah PERKESO Sarawak Philip Sangkan berkata kompaun itu masing-masing melibatkan kesalahan gagal mendaftar perusahaan (RM12,500) dan gagal mendaftar pekerja (RM11,500).

“Di Miri, PERKESO mengeluarkan 32 kompaun terhadap pelbagai kesalahan dalam Operasi Kesan (Ops Kesan) terutama majikan gagal mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka membabitkan kompoun keseluruhan RM24,000,” katanya pada sidang media di pejabat PERKESO Miri, semalam.

Menurutnya, bermula 1 Jun depan, minimun caruman PERKESO ketika ini RM3,000 dinaikkan kepada RM4,000 untuk semua pekerja.

“Ia bermaksud semua pekerja perusahaan kecil atau sederhana harus membayar caruman PERKESO yang membolehkan mereka dilindungi, sementara majikan harus mendaftar pekerja mereka atau bakal dikenakan kompaun,” katanya.

Philip berkata, PERKESO juga menggalakkan majikan mendaftar perusahaan mereka secara sukarela di semua cawangan PERKESO terdekat bagi mengelak mereka dikenakan kompaun melalui Ops Kesan.

“Saya juga menyarankan majikan membayar caruman pekerja melalui sistem perbankkan atas talian yang turut ditawarkan PERKESO untuk memudahkan majikan,” katanya.

PERKESO Sarawak hingga Disember tahun lalu membayar pampasan keseluruhan bernilai RM19.3 juta kepada pekerja bagi pelbagai tuntutan sementara Miri melibatkan RM2.098 juta.

Sementara itu, Pengurus PERKESO Miri Tan Phang Chia berkata antara alasan paling popular dikesan majikan tidak tahu mengenai keperluan mendaftar perniagaan serta pekerja mereka tidak mahu gaji ditolak apabila mencarum kepada PERKESO.

Tan yang mengendalikan Ops Kesan berkata, kebanyakan dikenakan kompaun merupakan majikan kedai makan, kedai perabot, aksesori dan sebagainya.

“Alasan tidak tahu tentang keperluan mendaftar perusahaan dan pekerja bukan alasan kepada PERKESO tidak mengeluarkan kompaun kerana mereka diberi tempoh 30 hari untuk berbuat demikian,” jelasnya.

Beliau menambah, sejumlah 32 majikan disemak di Miri dikenakan kompaun kerana didapati gagal mematuhi peraturan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 5, AKSP 1969 iaitu atas kesalahan lewat mendaftar perusahaan dan pekerja.

Justeru, bagi majikan yang masih belum mendaftar perniagaan atau mencarum pekerja, mereka diminta segera berbuat demikian dengan berkunjung ke pejabat PERKESO.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/17/32-majikan-gagal-mendaftar-dengan-perkeso-dikompaun/