3 lokasi di KL masih tidak sihat

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Semenanjung petang ini direkodkan sedikit meningkat berbanding semalam, dengan beberapa lokasi di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

IPU di Batu Muda dan Cheras, masing-masing mencatatkan bacaan 157 dan 151 iaitu meningkat daripada bacaan masing-masing 140 yang direkodkan semalam, manakala Putrajaya pula merekodkan bacaan IPU 137 berbanding 136 semalam.

PEMANDANGAN bandar Kuala Lumpur tidak kelihatan di Bukit Ampang Permai IPU menunjukkan 151. - Foto Saifullizan Tamadi

Di Selangor, lima lokasi turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat membabitkan Petaling Jaya (145), Shah Alam (125), Banting (114) Johan Setia Klang (149) dan Klang (107), manakala di IPU di Kuala Selangor adalah sederhana iaitu 96.

Sementara itu, dua lokasi di Negeri Sembilan juga mencatat IPU tidak sihat sehingga petang ini iaitu Nilai (135) meningkat berbanding semalam (131) dan Seremban (124) juga meningkat berbanding semalam (111).

Di Johor, dua lokasi masih merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu di Segamat (131) dan Tangkak (103).

Keadaan jerebu di Sarawak bagaimanapun dilihat semakin baik apabila bacaan IPU di lima lokasi setakat ini menunjukkan penurunan setakat jam 3 petang walaupun masih berada pada tahap tidak sihat.

Bacaan IPU di Sri Aman menurun kepada 109 berbanding 356 iaitu di paras berbahaya semalam, selain di Kuching yang mencatatkan bacaan 162 berbanding 208 iaitu sangat tidak sihat semalam.

Tiga lokasi lain di Sarawak iaitu Sibu merekodkan bacaan 103; Sarikei (115) dan Samarahan (140).

Keadaan jerebu di baki tujuh lagi lokasi di Sarawak pula semakin baik apabila semua kawasan merekodkan bacaan sederhana iaitu di Limbang (69); ILP Miri (94); Miri (95); Samalaju (97); Bintulu (97); Mukah (98) dan Kapit (66).

Di Sabah pula, semua tujuh lokasi mencatatkan bacaan IPU sederhana antara 54 hingga 81.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/609370/3-lokasi-di-kl-masih-tidak-sihat