3,000 dijangka meriah FTMRT Long Bedian

Oleh Sudan Ajang//

KEMBALI LAGI: Dennis (duduk tengah) bersama yang lain semasa mesyuarat
jawatankuasa Festival Tarian dan Muzik Rakyat Tanah Tinggi Sarawak 2016 yang
akan diadakan pada 9 hingga 11 Disember di Long Bedian.

KEMBALI LAGI: Dennis (duduk tengah) bersama yang lain semasa mesyuarat jawatankuasa Festival Tarian dan Muzik Rakyat Tanah Tinggi Sarawak 2016 yang akan diadakan pada 9 hingga 11 Disember di Long Bedian.

MIRI: Lebih 3,000 pengunjung dalam dan luar negara dijangka memeriahkan Festival Tarian dan Muzik Rakyat Tanah Tinggi (FTMRT) Sarawak 2016 diadakan di Long Bedian pada 9 hingga 11 Disember depan.

Pengerusi festival merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, ini merupakan festival kali ketiga berikutan kejayaan festival yang diadakan sebelumnya pada 2008 dan 2012.

“Walaupun lokasi festival terletak agak jauh dari Miri namun ini tidak menghalang penganjuran tersebut menjadi tumpuan.”

“Pemilihan Long Bedian pula sesuai kedudukan di tengah hutan dengan konsep penduduk tanah tinggi,” katanya semasa mengetuai Mesyuarat Jawatankuasa Festival Tarian dan Muzik Rakyat Tanah Tinggi Sarawak 2016 di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Miri, semalam.

Jelasnya, ia serentak dengan sambutan ulang tahun pengiktirafan Telang Usan sebagai daerah dan Long Bedian sebagai daerah kecil.

“Selain itu, Long Bedian dipilih kerana kita mahu pengunjung merasai pengalaman berkunjung ke lokasi ini yang kebetulan berjiran Taman Negara Mulu,” katanya.

Antara objektif festival ialah membantu mempromosikan aktiviti boleh membawa pelancong dan pengunjung datang ke daerah Telang Usan, sekali gus memperkenalkan cara hidup mereka kepada masyarakat luar.

Katanya, selain itu membuka peluang kepada penduduk setempat menikmati hasil pelancongan, termasuk dari segi pengangkutan, inap desa, makanan, minuman serta jualan kraf tangan.

“Pelbagai tarikan kita tawarkan dalam festival ini, tetapi paling istimewa tentu pengalaman tinggal di inapdesa Orang Ulu, selain berpeluang menyaksikan tarian, muzik dan persembahan kebudayaan asli etnik Orang Ulu yang tidak pernah dipertonton kepada khalayak sebelum ini,” katanya.

Dennis berkata, antara etnik terlibat dalam program ini termasuk etnik Kenyah, Bisaya, Kayan, Penan, Kelabit, Lun Bawang, Berawan, Saban dan Lakiput.

Lebih 10 agensi kerajaan turut serta dengan membuka kaunter masing-masing pada hari tersebut.

Jelasnya, pengunjung juga berpeluang membeli kraf tangan dihasil kaum tersebut khususnya kaum Penan.

“Selain itu, festival ini bagi menyahut seruan kerajaan untuk terus mempromosikan produk pelancogan khususnya di luar bandar.

“Festival ini juga sempena ulang tahun pertama wilayah Apoh dinaik taraf sebagai unit kecil di Long Bedian,” kata Dennis.

Menurutnya lagi, program memasuki edisi ketiga ini dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan Sarawak, Pusat Khidmat Telang Usan, Pejabat Residen dan Daerah Miri, Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM), Pertubuhan Persatuan-persatuan Cina, pejabat Ketua kaum Orang Ulu Temenggung Elizabeth Deng, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Bedian, Sarawak Tourism Board (STB) dan Daerah kecil Long Bedian dan beberapa agensi kerajaan.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dijangka merasmikan acara itu pada 9 Disember ini.

Kata Dennis, pihaknya optimis dapat menarik minat pelancong luar, termasuk dari Singapura dan Brunei, selain pengunjung datang dari Kuala Lumpur untuk turut serta.

Perjalanan ke lokasi menurutnya, memerlukan pengunjung menyewa pacuan empat roda menuju ke Long Lama dari Miri.

Setelah itu, perjalanan diterus dengan melalui jalan balak dari Long Lama ke Long Bedian.

Kata Dennis lagi, beliau berharap penganjuran program seperti ini akan menarik minat generasi muda untuk terus mendalami dan mengamalkan budaya tradisi kaum mereka.

“Kita tidak mahu budaya ini akan terus pupus dan tenggelam akibat daripada pembangunan dan kemodenan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh menghubungi jawatankuasa penganjur iaitu Jok Eng Jok 013 8305962, SAO Ezra Uda 016 8867696 dan Leslie Lah Anyie 013 8652215.

Serentak dengan festival ini, pengunjung boleh mengambil pakej menarik melawat Taman Negara Gunung Mulu iaitu dari Miri – pekan Long Lama – Daerah Kecil Long Bedian – penempatan Penan di Long Iman – Taman Negara Gunung Mulu.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/03/3000-dijangka-meriah-ftmrt-long-bedian/