25 Januari ini sebutan semula dua buruh masuk secara haram

MIRI: Mahkamah Majistret semalam menetapkan 25 Januari ini untuk sebutan semula kes dua buruh warga asing dalam dua kes berasingan dituduh memasuki negeri ini secara haram.

Manakala kedua-dua tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh berkenaan.

Perintah itu dikeluar Penolong Kanan Pendaftar, Tania Arissa Andi Sanrang memandangkan hakim Mahkamah Sesyen sepatutnya mendengar kes itu terlibat tugas rasmi lain.

Armin, 21, dari Sulu, Filipina dan Yahya, 25, dari Sulawesi, Indonesia masing-masing telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Berdasar kes pertama, Armin sebagai seorang bukan warga negara Malaysia didapati memasuki negeri ini tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.45 tengah malam, 15 Januari lalu di sebuah rumah di Lorong Perdana 5B Tudan Fasa 6 di sini.

Manakala Yahya didakwa melakukan kesalahan serupa pada jam 12.30 tengah hari, 7 Januari lalu di sebuah tapak pembinaan RPR Batu 6, Jalan Pujut-Lutong di sini.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan salah kedua-dua tertuduh direkodkan.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/01/21/25-januari-ini-sebutan-semula-dua-buruh-masuk-secara-haram/