2 murid menang pingat emas, anugerah khas di Geneva

MELAKA: Dua murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, di sini, mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat emas dan dua anugerah khas pada Pameran Antarabangsa Reka Cipta Geneva ke-44 di Switzerland, baru-baru ini.

Nur Irrina Balqis Mohd Farriz dan Fatin Nurain Naziha Amiruddin, 11, menang pingat emas menerusi inovasi kotak serba guna atau ‘My-Cute Box’, manakala dua anugerah khas pula daripada pertubuhan belia, masing-masing dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir.

Pada pameran dari 13 hingga 18 April lalu, mereka mempertaruhkan My-Cute Box yang diperbuat daripada bahan buangan seperti botol plastik dan plastik polikarbonat. Inovasi berkenaan dihasilkan pada tahun lalu.

Nur Irrina yang juga ketua pasukan, berkata inovasi itu tercetus apabila dia dan rakannya melihat banyak botol plastik tidak dilupuskan dengan teratur dan terkawal, selain masyarakat juga tidak mengamalkan konsep kitar semula.

“Inovasi ini boleh dijadikan kotak serba guna, termasuk menyimpan barang yang boleh menambahbaik kualiti kehidupan serta mendidik masyarakat untuk menjaga alam sekitar. Reka bentuknya juga menarik, ringan, ringkas, mudah alih dan tahan lasak,” katanya.

My-Cute Box menggunakan konsep lakukan sendiri (DIY) dan boleh menampung berat sehingga 50 kilogram (kg) bagi botol berisi padu 1.5 liter dan 17kg untuk botol berisi padu 500 mililiter.

Ibu Nur Irrina, Nor Hazana Abd Razik, 37, berkata produk itu sudah dipatenkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada November lalu.

Beliau yang juga guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak berkata, My-Cute Box dipilih kerana penggunaannya lebih meluas dan tidak memerlukan teknikal terlalu tinggi, selain kos hanya RM23.

“Pelajar harus diberikan peluang untuk menyertai pertandingan seperti ini bagi membina keyakinan dan kemahiran berkomunikasi, sekali gus dapat melahirkan individu berkebolehan,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Sungai Udang, Fadzilah Abdul Maarok, berkata pihak sekolah amat berbangga dengan kejayaan dua murid berkenaan yang mengharumkan nama sekolah di peringkat antarabangsa.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/28/2-murid-menang-pingat-emas-anugerah-khas-di-geneva/