17 gelandangan diselamat dalam operasi bersepadu

Oleh Borhaniza Ali Basah//

PENUH
PRIHATIN: Fatimah (baju hitam merah) berjalan bersama pegawai terlibat dalam
operasi mengesan gelandangan dan menyelamatkan mereka.

PENUH PRIHATIN: Fatimah (baju hitam merah) berjalan bersama pegawai terlibat dalam operasi mengesan gelandangan dan menyelamatkan mereka.

SIBU: Seramai 17 gelandangan diselamatkan dalam operasi bersepadu golongan tersebut sekitar bandar ini malam kelmarin.

Angka itu merekodkan bandar Sibu mencatat jumlah gelandangan teramai sepanjang operasi di seluruh negeri setakat ini.

Menurut Menteri Kebajikan Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah, sehingga jam 10.45 malam seramai 15 gelandangan diselamatkan dan seorang daripada mereka dipercayai pesakit mental.

Fatimah memberitahu, 14 daripada mereka adalah lelaki dan hanya seorang sahaja gelandangan wanita.

“Tujuh orang berumur 60 tahun ke atas dan lapan orang berumur 40 hingga 59 tahun. Seramai 12 daripada mereka berasal dari bandar Sibu manakala dua orang dari sekitar bahagian Sibu dan seorang berbangsa Bugis dipercayai berasal dari Sabah,” katanya pada sidang media di sini selepas operasi tersebut.

Bagaimanapun, pada jam 11.30 malam dua lagi gelandangan berjaya diselamatkan oleh pasukan operasi bersepadu yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan.

Katanya semasa golongan sasar ini ditemui hampir semua mereka dilihat dalam keadaan menyedihkan serta kekurangan zat makanan.

“Kita akan menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap mereka dan memberi makan secukupnya serta menyediakan tempat rehat yang selesa.

“Ada antara mereka memberitahu kepada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) bahawa mereka menunggu ahli keluarga untuk mengambil dan ada yang pulang esok hari (hari ini).

“Kita membuat laporan polis bagi membolehkan kita meletakkan mereka di bawah jagaan Rumah Seri Kenangan pada malam ini buat sementara waktu,” katanya yang mengetuai operasi tersebut di sini malam kemarin.

Operasi disertai kira-kira 120 orang pegawai pelbagai agensi dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Pasar Sentral Sibu sehingga Kingwood (kawasan disertai Fatimah), Hotel Paramount sehingga Pejabat Pos, Pasar Malam dan Sungai Merah sehingga Terminal Bas.

Bagi gelandangan berumur 60 tahun ke atas dan tidak mempunyai ahli keluarga, JKM memohon perintah mahkamah menempatkan mereka di Rumah Seri Kenangan agar kebajikan mereka terjaga.

“Tetapi, itu adalah pilihan terakhir sekiranya tiada ahli keluarga yang menjemput mereka,” katanya.

Fatimah turut melahirkan rasa bersyukur kerana tidak ada gelandangan kanak-kanak dijumpai pada malam itu.

Namun, beliau memberitahu terdapat segelintir gelandangan diselamatkan adalah klien mereka iaitu penerima bantuan daripada JKM.

“Kita juga menjumpai seorang gelandangan dipercayai mempunyai masalah mental. Beliau akan kita rujuk kepada pakar psikiatrik untuk tindakan lanjut.

“Tetapi, semasa kita menemui gelandangan terbabit beliau berkeras tidak mahu dibawa oleh JKM dan maklumat diterima bahawa beliau pernah dimasukkan ke Pusat Pemulihan Pengemis di RSK namun dilepaskan kerana tempoh pemulihan pengemis selama tiga tahun sahaja,” ujarnya.

Jelas Fatimah, kes psikiatrik sentiasa menjadi isu kerana JKM pada masa ini tidak mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut dan akan dirujuk kepada Jabatan Kesihatan.

Sehingga kini, seramai 30 gelandangan dijumpai di seluruh negeri dan operasi di Kuching pada 24 Mei seramai empat gelandangan ditemui, 31 Mei (tiga orang), 11 Jun empat orang diselamatkan dan empat orang ditemui semasa operasi di Bintulu.

“Jumlah teramai sebelum operasi di bandar Sibu malam ini adalah di Miri iaitu 13 orang,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Fatimah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain angka di Sarawak masih kecil.

“Kita sentiasa melihat isu ini sebagai satu isu serius dan harus dibendung dari peringkat akar umbi sebelum menjadi lebih parah,” jelasnya.

Bersama Fatimah berjalan kaki dalam operasi menyelamat kumpulan sasar terbabit malam kelmarin ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/07/17-gelandangan-diselamat-dalam-operasi-bersepadu/