16,221 penerima bantuan JKM sempena Aidilfitri

Pemberian bantuan bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap golongan memerlukan, kata Fatimah

// Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BANTUAN: Fatimah (empat kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang
penerima sambil disaksikan oleh (dari kiri) Wan Ibrahim, Zainal dan Drahman.

BANTUAN: Fatimah (empat kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh (dari kiri) Wan Ibrahim, Zainal dan Drahman.

BINTULU: Sejumlah 16,221 orang atau 28.7 peratus daripada penerima bantuan negeri Sarawak menerima sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah berkata, pemberian bantuan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri Sarawak terhadap golongan memerlukan di negeri ini.

Katanya, bantuan dan peruntukan diberi kerajaan kepada penerima memerlukan itu tidak akan dikurangkan malah bertambah tahun ini terutama untuk keperluan golongan susah.

“Diharap melalui bantuan itu akan dapat menceria sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada golongan terbabit,” ujarnya berucap pada Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2016 untuk 150 penerima bantuan bulanan kebajikan di Masjid Darul Makmur Kampung Jepak semalam.

Menurutnya, penerima bantuan itu menerima duit raya berjumlah RM100 dan hamper bernilai RM50 yang berupa makanan asas.

Katanya, mereka yang tidak berpeluang hadir, sumbangan perayaan RM100 itu akan dimasukkan dalam akaun penerima bantuan terbabit.

“Sumbangan perayaan ini tidak hanya mengkhusus pada Hari Raya Aidilfitri malahan untuk sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai Dayak sebelum ini untuk penerima seluruh bahagian melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang,” tambahnya.

Dalam pada itu katanya, kenaikan kadar Bantuan Am (BA) dan tambahan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) serta Bantuan Orang Kurang Upaya Tidak Berupaya Bekerja (BTB) tidak dikurang yang mana menerima tambahan RM50 setiap bulan secara menyeluruh.

Terdahulu Penghulu Drahman Kawi berkata, sumbangan diberi kepada golongan kurang bernasib baik itu memperlihat kebajikan golongan terbabit terjaga dan tidak diabaikan oleh kerajaan.

“Sumbangan yang diberikan itu diharap dapat dimanfaatkan dan mampu meringankan beban semasa sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.

Begitupun beliau menasihati golongan terbabit agar terus giat berusaha untuk menambah pendapatan serta tidak terlalu bergantung kepada bantuan yang diberi oleh kerajaan sahaja.

Katanya, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta juga diperlukan untuk membantu masyarakat yang memerlukan dan dalam kerja-kerja kebajikan.

Timbalan Pengarah JKMNS, Zainal Taram; Penolong Pengurus Besar (Khidmat Alam Sekitar), Wan Ibrahim Wan Ali; Pengerusi Masjid Darul Makmur, Sauni Saibi dan penduduk setempat turut hadir pada majlis itu.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/17/16221-penerima-bantuan-jkm-sempena-aidilfitri/