14 pesara STU terima anugerah BSG

MIRI: Seramai 14 ahli Kesatuan Guru Sarawak (STU) Bahagian Miri yang bersara menerima anugerah Bintang Setia Guru (BSG) semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-13 di Wisma STU Marina Square tengah hari semalam.

Anugerah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting.

Selain itu, Ting turut menyampaikan sijil Galakan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana kepada 32 guru yang berjaya mengikuti kursus pengajian di peringkat Ijazah.

Anak-anak ahli yang cemerlang dalam peperiksaan sekolah iaitu seramai 15 pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 3 pelajar Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan 12 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima insentif akademik.

Ting dalam ucapannya amat menghargai jasa guru kerana banyak berkorban tenaga dan masa mendidik anak bangsa.

“Masa depan anak kita bergantung kepada peranan guru. Sebagai ibu bapa, kita harus sentiasa berhubung rapat dengan guru dan sekolah kerana guru juga banyak meluangkan masa mereka mendidik anak-anak kita yang merupakan aset penting pembangunan negara,” katanya.

Beliau memberitahu akan membuat permohonan geran RM10,000 untuk STU Miri merancakkan peranan dan penganjuran aktiviti kepada ahli.

Pengerusi, Tony Unja Jimbang berkata, STU Miri melakar sejarah kerana berjaya menganjurkan AGM julung kali di premis milik mereka sendiri.

STU Miri kini memiliki premis tiga tingkat di pusat komersial baharu Marina Square yang bernilai RM1.6 juta dikenali Wisma STU Miri. Majlis praperasmian premis telah diadakan pada Februari lalu sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Antara aktiviti lain dirancang bermula Julai ialah ‘Outreach Programme’ di Subis, STU Bersama Ahli di Baram, STU Bersama Ahli di Subis, lawatan ke rumah jagaan warga emas, kempen derma darah, pertandingan mewarna untuk anak-anak ahli, bicara kesihatan untuk ahli wanita, sambutan Hari Guru Sedunia dan malam penghargaan.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung STU Negeri Sarawak, Yong Ing Thung.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/18/14-pesara-stu-terima-anugerah-bsg/