Tragedi percutian

0
683

Labuan: Seorang lelaki berusia 25 tahun yang juga penuntut jurusan perubatan universiti di Russia maut selepas kereta Nissan Skyline dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Jalan Bukit Timbalai, di sini, jam 12.40 tengah malam semalam.

Joshua Shak Gin Vui disahkan mati di lokasi akibat parah di badan dan kepala. Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bercuti dan pulang ke kampung halamannya di Labuan bagi menyambut Tahun Baru Cina.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Adzhar Othman berkata, siasatan mendapati mangsa memandu dari Kampung Sungai Miri ke pusat bandar.

“Tiba di lokasi, kereta dipandunya hilang kawalan selepas melalui selekoh dan terbabas sebelum merempuh pokok. Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan anggota bomba.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Nukleus Labuan untuk proses selanjutnya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Adzhar berkata, seorang wanita yang juga peniaga maut apabila pacuan empat roda Toyota Land Cruiser dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Jalan Tun Mustafa di sini, jam 5.40 pagi semalam.

Lau Mee Ling disahkan mati di lokasi oleh anggota paramedik Hospital Nukleus Labuan akibat parah di kepala dan badan.

“Siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari bandar menuju ke Pohon Batu. Tiba di lokasi, mangsa gagal mengawal Toyota Land Cruiser sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh pokok.

“Mayatnya dibawa ke Hospital Nukleus. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.

Source: Harian Metro

Leave a Reply