Penunggang Superbike perlu dekati kapcai – TPM

0
5

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Musa Aman ketika hadir merasmikan Borneo Solidarity Ride 2017 di Oceanus Kota Kinabalu. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) mendekati penunggang motosikal berkuasa rendah atau ‘kapcai’ bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian membabitkan penunggang motosikal itu di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, lebih 50 peratus daripada 7,100 kematian akibat kemalangan yang dilaporkan tahun lalu membabitkan penunggang motosikal berkuasa rendah.

“Tahun lalu, sebanyak 521,466 kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara dengan lebih separuh daripadanya membabitkan motosikal.

“Ini amat menyedihkan kerana lebih 50 peratus daripada 7,100 kematian itu membabitkan penunggang motosikal berkuasa rendah.

“Oleh itu, saya meminta penunggang motosikal berkuasa tinggi bersama mereka sahaja sebaliknya dekati ‘kapcai’ ini agar lebih berdisiplin sekali gus kadar kemalangan dan kematian dapat dikurangkan.

“Saya juga meminta SAM sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai cawangan di seluruh negara atau kelab yang bergabung dengan SAM mengadakan latihan atau pendedahan kepada penunggang motosikal berkuasa rendah. Saya yakin Presiden SAM dapat menterjemahkan apa yang saya hasratkan ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian ketika merasmikan penutupan Borneo Solidarity Ride 2017 yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai dan Presiden SAM, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Seramai 65 penunggang motosikal berkuasa besar di bawah SAM terbabit dalam program Borneo Solidarity Ride 2017 bermula di Kuching pada 4 Februari lalu dan berakhir di Kota Kinabalu hari ini.

Konvoi itu turut singgah di Sibu, Miri, Keningau Tawau, Kota Marudu, Kundasang, Tuaran sebelum berakhir di sini.

Perjalanan sejauh 3,025 kilometer itu menjelajah hampir setiap daerah di Sarawak dan Sabah dengan tujuan utama untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Source: Berita Harian Semasa

Leave a Reply