Bot karam: Tekong tak sedia jaket keselamatan

0
24

PENGARAH Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Zubil Mat Som (dua dari kiri) mengadakan sidang media perkembangan baru kes bot pelancong yang karam di perairan Pulau Mengalum dan kejadian bot pancung karam di perairan Tawau, di Bilik Gerakan Operasi APMM, Kota Kinabalu. – Foto Mohd Adam Arinin

TAWAU: Seramai 14 penumpang bot laju yang karam di perairan Tinangat, dekat sini, dipercayai tidak memakai jaket keselamatan atas alasan jarak perjalanan dari Kampung Titingan ke Sungai Nyamuk dekat.

Timbalan Pengarah (Operasi), Daerah Maritim Tawau, Komander Maritim, Romli Mustafa, berkata tekong tidak menyediakan jaket keselamatan kerana perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 10 minit.

Dalam kejadian pada jam 6 petang kelmarin, bot membawa 14 penumpang dikatakan terbalik selepas terkena ombak besar menyebabkan semua mangsa termasuk tekong tercampak ke laut.

Setakat ini, 13 mangsa dilaporkan hilang manakala pasangan suami isteri warga Indonesia selamat selepas mereka ditemui berenang di pesisir pantai Kampung Batu Payung, petang semalam.

Pasangan itu kini dirawat di Hospital Tawau serta keadaan mereka dilaporkan masih lemah.

Romli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pagi ini membabitkan kawasan pencarian seluas 64 batu nautika persegi.

Katanya, tujuh kapal dan bot digunakan dalam operasi SAR hari ini iaitu tiga milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) termasuk Kapal Maritim (KM) Budiman, tiga dari Pasukan Polis Marin (PPM) dan sebuah milik bomba.

Katanya, pihaknya juga sudah menghubungi pejabat Konsulat Indonesia di sini bagi meminta bantuan pasukan keselamatan negara jiran itu untuk menjalankan operasi SAR.

Beliau berkata, sektor lokasi kejadian dipercayai berada di perairan Indonesia.

Difahamkan, semua mangsa adalah warga Indonesia.

Source: Berita Harian Semasa

Leave a Reply