Aspirasi Tok Nan bantu nelayan Sarawak

0
8

SEMATAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang meneliti cadangan menambah jumlah tukun tiruan di Perairan Sarawak bagi mendokong usaha perkembangan industri perikanan negeri ini.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata inisiatif itu sekali gus membantu meningkatkan produktiviti hasil sumber laut, seterusnya menambahbaik kehidupan nelayan setempat.

Katanya, ketika ini kajian sedang dilaksanakan bagi meneliti kesesuaian jenis tukun yang boleh digunakan di perairan negeri ini.

“Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan ketika hayatnya sentiasa berusaha memperkasakan kehidupan rakyat, termasuklah golongan nelayan seperti di Tanjong Datu.

“Justeru, kita sentiasa mendokong usaha murni arwah melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan berkenaan,” katanya ketika menghadiri Majlis Jalinan Bersama Komuniti Nelayan di Pekan Sematan dekat sini petang tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Sarawak.

Atas permintaan Tok Nan sendiri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melancarkan Projek Tukun Tiruan Sematan – Teluk Melano.

Beberapa kawasan lain yang dikenalpasti berpotensi untuk projek tukun tiruan ialah Pulau Talang-Talang, Bintulu, Kabong, Miri dan Lawas .Di Sarawak, terdapat kira-kira 200,000 unit tukun tiruan disediakan membabitkan 31 lokasi.

Ahmad Shabery berkata, RM11.2 juta diperuntukkan untuk negeri ini bagi program pembangunan tukun sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

“Di Sematan sahaja, sebanyak 79,432 tukun tiruan dilabuhkan, termasuk yang terkini 180 unit tukun tiruan jenis rekreasi dan 345 tukun tiruan jenis bebola,” katanya.

Pada majlis yang sama, Shabery turut mengimbas aspirasi besar Tok Nan yang berjuang meningkatkan taraf hidup masyarakat nelayan di negeri ini.

“Tok Nan menuntut agar masyarakat nelayan terus diberikan penumpuan oleh Kerajaan Persekutuan melalui penyediaan pelbagai bantuan berkaitan, termasuk peruntukan dana,” katanya.

Shabery berkata, kementeriannya memperuntukkan RM117 juta untuk tujuan itu, termasuk subsidi bahan api dan bantuan sara hidup ke arah usaha memberikan kehidupan lebih baik kepada masyarakat nelayan.

“Untuk 2016 dan 2017, Kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih daripada RM115 juta untuk pembangunan industri perikanan serta kebajikan nelayan di Sarawak.

“Ini memberi manfaat kepada lebih 16,900 nelayan di negeri ini dan jumlah ini merupakan hampir satu per empat daripada keseluruhan peruntukan Kerajaan Persekutuan seluruh negara,” katanya.

Source: Berita Harian Semasa

Leave a Reply