121 sukarelawan YSS ke pedalaman Sarawak

0
26

KAIN Ching diiringi Zuraidah (kiri) bersalam bersama peserta ketika hadir di Majlis Pelepasan Misi Sukarelawan Siswa-YSS ASEAN ke Miri, Sarawak 2017 di Putrajaya, hari ini. – Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) menghantar 121 sukarelawan ke kawasan pedalaman di Miri, Sarawak selama dua minggu bagi menjalankan aktiviti pembangunan komuniti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, berkata sukarelawan berusia antara 18 hingga 22 tahun itu dipilih dari universiti awam dan swasta, kolej komuniti, politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

“Misi pertama tahun ini akan bermula esok dan Miri adalah bahagian terakhir di Sarawak yang belum diterokai YSS.

“Misi kali ini diadakan serentak di lima lokasi iaitu di Kampung Lajong Niah, Rumah Panjang Buddy dan Rawing di Beluru serta Rumah Panjang Mentali dan Ayai di Bekenu.

“Sukarelawan akan dibahagikan kepada empat kluster iaitu komuniti, pendidikan, kesihatan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelepasan Misi Sukarelawan Siswa-YSS ASEAN ke Miri, Sarawak 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi YSS, Datuk Zuraidah Atan.

Kain Ching berharap pembabitan sukarelawan siswa itu akan menjadi sumber inspirasi atau idola kepada golongan muda di kampung berkenaan dalam melahirkan generasi minda kelas pertama.

“Ia juga menyokong hasrat kerajaan dalam memperkasa generasi belia harapan bangsa seperti diterapkan dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.

Source: Berita Harian Semasa

Leave a Reply